
YB HELMY MAHU MASJID DI DUYONG JANA PENDAPATAN SENDIRI, BANTU UMMAH
DUYONG 10 Mei – Masjid Al-Wahab di Permatang Duyong kini layak menjadi contoh kepada masjid-masjid di seluruh negeri apabila mampu menjana pendapatan sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata ia selepas masjid berkenaan berjaya membangunkan perniagaan Cafe Al Wahhab milik masjid terbabit yang menjadi antara platform penting pembangunan ummah.
Menurut beliau, meskipun kafe baharu dibangunkan Masjid Al-Wahab pada awalnya berdepan kontroversi dan pernah disita Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), namun ia kini boleh beroperasi berdasarkan perjanjian dan jaminan teknikal yang ditetapkan.
“Saya campur tangan selepas mendapat jawapan munasabah, jaminan teknikal dan janji keluar tanpa pampasan bila-bila masa jika diperlukan tanpa bersyarat oleh pihak vendor di kafe milik masjid itu.
“Ada pihak risau kafe tersebut akan menganggu dan mengakibatkan banjir, namun papak (slab) dibina diatas longkang dan tidak menganggu struktur longkang.
“Saya sokong demi kepentingan masjid agar masjid dapat menjana ekonomi sendiri, bila ekonomi masjid stabil, banyak keperluan ummah dapat dibantu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya semalam.
Rentetan itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri mahu membantu tiga lagi masjid dalam kawasan Duyong iaitu Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama; Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Laksamana Hang Tuah terus bermandiri dalam usaha menjadi antara pusat penyatuan ummah yang mampu menjana pendapatan dan seterusnya membantu umat Islam di Duyong.
“Saya dengan bangga menyatakan DUN Duyong merupakan satu-satunya DUN dalam Negeri Melaka yang semua (empat) masjidnya menanggung kos pengurusan jenazah anak kariah. Senang cakap, jika ada yang meninggal dunia, pengurusan jenazahnya adalah percuma.
“Pada masa sama, saya mahu semua masjid ini menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan. Masjid memang tiada masalah untuk menerima hasil daripada duit derma, cuma sampai bila mahu bergantung kepada derma semata-mata
“Masjid perlu jadi pusat ummah. Buat aktiviti banyak, tolong orang susah, sampaikan hajat asnaf berjasa pada masyarakat tunaikan umrah. Buat apa sahaja kebaikan. Jangan takut berbelanja. Allah SWT janji lebih banyak duit dibelanja pada jalan-Nya, lebih banyak duit akan masuk,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.