YIDE peruntuk RM1.7 juta santuni anak yatim

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Mac – Sejumlah RM1.7 juta diperuntukkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sepanjang Ramadan tahun ini bagi menyantuni anak-anak yatim di Selangor dan Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata berbanding 2023, pada tahun ini terdapat peningkatan jumlah peruntukan daripada YIDE untuk disumbangkan kepada 11,000 anak yatim khususnya di Selangor.

“Sumbangan dengan peruntukan RM1.7 juta ini akan diagihkan bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim terus dijaga baik bukan sahaja ketika menjalani ibadah puasa tetapi juga untuk persiapan Aidilfitri.

“Malah sepanjang Ramadan ini YIDE sudah aturkan enam program iaitu satu di Melaka pada kali ini dan lima lagi di Selangor. Ada sumbangan ini yang disampaikan secara fizikal dan ada juga diberikan secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2024M/1445H di Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAAS) Pantai Puteri, semalam.

Terdahulu, penyerahan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Seramai 29 anak yatim di RAYSAAS diraikan pada majlis ini dengan jumlah sumbangan tunai bernilai RM8,700 selain 29 set kain pelikat serta 100 kilogram beras.

“Menjadi kewajipan YIDE untuk menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim demi kelangsungan kebajikan dan pembangunan kendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

535
Kongsi :
Previous post Lelaki maut ketika melintas jalan
Next post ‘Ab Rauf arkitek pendigitalan Melaka’
Ubah saiz-+=