Zainal impi bawa Melaka ke final

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KETUA Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC), Zainal Abidin Hassan memasang impian untuk menjadi jurulatih pertama yang berjaya membawa skuad Hang Tuah ke pentas final Piala Malaysia.

Beliau yang pernah memenangi piala keramat itu sebanyak tujuh kali sebagai pemain dan jurulatih nyata tidak mahu melepaskan peluang mencipta sejarah baharu itu memandangkan pencapaian terbaik Melaka United sebelum ini hanyalah sehingga peringkat suku akhir sahaja.

Berbekalkan dua kemenangan awal dalam aksi peringkat kumpulan C pada saingan tahun ini, Zainal nyata enggan menoleh kebelakang lagi dan serius mahu mencipta kejutan yang sudah lama diimpikan penyokong Hijau Putih.

“Memang Piala Malaysia ini menjadi idaman semua pemain dan setiap jurulatih, semua orang mengidamkan untuk berada di pentas final kerana ini adalah piala terakhir untuk dimenangi pada setiap musim, lagi-lagi bersempena ulang tahun ke-100.

“Sekarang, saya tidak nafikan niat saya memang untuk membuat sejarah itu bersama Melaka United pula dan mereka pula tidak pernah lagi beraksi sehingga ke final.

“Jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa sejauh mana Melaka United akan dapat pergi dalam saingan ini,” katanya dalam wawancara bersama Malaysian Football League (MFL).

Mengulas mengenai saingan peringkat kumpulan yang bakal bersambung semula 29 Oktober ini, Zainal mengakui semangat pasukannya semakin membara apabila pemain tonggaknya, Ahmad Syamim Yahya disahkan sudah pulih daripada kecederaan dan boleh kembali beraksi.

Katanya, kehadiran pemain berusia 31 tahun yang erpaksa disisihkan sejak Julai lalu diyakini mampu memperkuatkan lagi pasukan bagi mengharungi baki empat lagi perlawanan peringkat kumpulan.

“Alhamdulillah, Syamim akan kembali beraksi cuma saya masih kehilangan Gary yang tidak dapat beraksi hingga habis musim, jadi sedikit sebanyak dengan adanya semula Syamim selepas ini akan dapat memperkuatkan lagi pasukan.

“Sekarang yang penting adalah program perancangan daripada sekarang hingga perlawanan ketiga untuk tempoh cuti yang panjang ini, dan inilah masa untuk pemain kekalkan momentum mereka.

“InsyaAllah kami akan adakan perlawanan persahabatan selepas ini dan saya sentiasa ingatkan pemain-pemain untuk kekalkan prestasi yang mereka telah tunjukkan,” ujarnya.

Untuk rekod, Melaka United FC kini muncul pendahulu kumpulan C Piala Malaysia 2021 selepas mengutip enam mata, hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post Mohamad Ali cabar Idris bertanding di kerusi yang sama
Next post “Kita tidak pertikai kuasa TYT” – PH Melaka
Ubah saiz-+=