Zeti akan bersara daripada PNB pada akhir penggal tiga tahunnya

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR 29 April. – Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz secara rasmi telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyatakan hasrat untuk tidak memperbaharui tempoh jawatan sebagai pengerusi kumpulan selepas menamatkan penggal tiga tahunnya pada 30 April 2021.

Zeti berkata kesempatan berkhidmat sebagai pengerusi kumpulan PNB selama tiga tahun adalah satu penghormatan buatnya dengan PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.

“Hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.

“PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan PNB pada Khamis.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata bagi pihak lembaga pengarah, pasukan kepimpinan dan seluruh warga kerja PNB, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zeti atas kepimpinan berwawasan dan sumbangan yang tidak ternilainya kepada PNB, Amanah Saham Nasional Bhd dan syarikat kumpulan PNB sepanjang tiga tahun itu.

“Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi yang memberi banyak manfaat kepada PNB,” katanya.

Menurut PNB, pelantikan pengerusi kumpulan yang baharu akan diputuskan oleh YPB dalam masa terdekat.

Ia menambah, sejak pelantikan pada 2018, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB yang menyaksikan institusi ini mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.

Pertama, usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas mendorong pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3 peratus pada akhir 2020 sekali gus mengukuhkan portfolio pelaburannya daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik, jelasnya.

“Kedua, PNB berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil daripada pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing yang lebih besar.

“Akhir sekali, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang telah menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” tambah syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post 800 bubur lambuk Orang Kampung ‘licin’ dalam sejam
Next post Muhyiddin ajak umat Islam luang banyak masa baca, fahami inti pati al-Quran
Ubah saiz-+=