800 bubur lambuk Orang Kampung ‘licin’ dalam sejam

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI RAMBAI 29 April. – Syarikat Orang Kampung (OK) yang terkenal dengan produk berasaskan herba meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya sepanjang Ramadan ini dengan mengedarkan 800 pek bubur lambuk berserta minuman tenaga kepada orang ramai, semalam.

Program itu diadakan di sekatan jalan raya (SJR) Sungai Rambai berhadapan Masjid Al-Hassanah Sungai Rambai, dekat sini, bermula jam 4 petang dan berakhir kira-kira jam 5 petang.

Pengarah Korporat OK Corporation Ismail Ali berkata, program kemasyarakatan itu yang pertama kali diadakan dalam tempoh dua tahun selepas terpaksa menangguhkannya pada Ramadan tahun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selain mengedarkan bubur lambuk pihak OK juga akan mengadakan majlis amal bersama anak yatim sedikit masa lagi selain turut akan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan serta masjid dan madrasah di negeri ini.

“Kita berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan dapatlah memberi keceriaan serta meringankan beban orang ramai sepanjang Ramadan dalam norma baharu ini,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bubur lambuk di SJR Sungai Rambai.

Dalam pada itu, Ismail berkata syarikatnya kini dalam usaha untuk terus bertahan sepanjang tempoh COVID-19 dengan meningkatkan jumlah pengedaran, selain berusaha menembusi pasaran baharu.

Beliau percaya, walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 di seluruh dunia, syarikat itu akan terus bertahan dengan strategi pemasaran terbaharu yang dijalankan warga kerjanya.

“Kita kini mempergiatkan promosi jualan secara dalam talian dan pada masa sama akan berusaha memastikan pasaran luar negara kita terus bertahan dan mencari peluang pasaran baharu untuk diterokai.

“Kita berharap hasil jualan syarikat terus kukuh pada setiap tahun dan insya-Allah tahun ini nilai jualan yang kita sasarkan ialah sebanyak RM60 hingga RM70 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post 10,000 juadah berbuka percuma untuk masyarakat Masjid Tanah
Next post Zeti akan bersara daripada PNB pada akhir penggal tiga tahunnya
Ubah saiz-+=