Zon Bebas Kenderaan: Hanya satu jalan ditutup 55 jam

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan selama 55 jam hanya melibatkan penutupan satu jalan, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau memaklumkan, bermula 1 Mac, hanya Jalan Laksamana iaitu di hadapan Public Bank hingga ke Bangunan Merah ditutup selama 55 jam dan jalan-jalan lain telah dibuka seperti biasa.

Menurut beliau, meskipun jalan berkenaan ditutup selama 55 jam, namun terdapat laluan alternatif dibuka bermula jam 1 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu dan Ahad.

“Ia membabitkan Lorong Hang Jebat belok ke kiri melalui Jambatan Tan Kim Seng dan keluar di Jalan Tun Khalil Yaakob untuk ke Plaza Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Rais, sebaik Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan bermula 19 Ogos 2023, Kerajaan Negeri telah menerima pelbagai maklum balas daripada pelbagai pihak.

Walaupun pada awalnya menerima tentangan, namun hasil usaha proaktif Kerajaan Negeri mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, respon positif mula diterima.

Ia termasuklah daripada peniaga di kawasan berkenaan yang mula menerima manfaat daripada limpahan ekonomi hasil kedatangan purata 12,000 pengunjung pada setiap hari.

“Malah hasil tinjauan di platform media sosial seperti Facebook dan TikTok, semakin ramai memuji inisiatif yang dilakukan ini memandangkan bilangan pengunjung yang semakin meningkat.

“Malah, menerusi laporan Melaka Hari Ini menemu ramah peniaga dan pelancong, majoriti daripada mereka menyifatkan pelaksanaan inisiatif itu menimbulkan suasana pelancongan unik buat mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post LTAM dijangka beroperasi semula Mei ini
Next post Sistem E-tanah Melaka lebih efisien, selamat
Ubah saiz-+=