Zoo Melaka tukar harimau dengan Zoo Batu Secret, Indonesia

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 9 Januari – Zoo Melaka bakal menerima seekor Harimau Bengal jantan atau nama spesifiknya Panthera Bengalensis bagi tujuan pembiakan daripada Zoo Batu Secret (BWS), Indonesia pada tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Zoo Batu Secret (BWS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rio Imam Sendjoyo pada 6 Januari lalu di Indonesia.

Katanya, MoU tersebut turut menyaksikan pertukaran seekor Harimau Bintang jantan atau nama spesifiknya Panthera Pardus -Black dari Zoo Melaka ke Zoo Batu Secret (BWS) bagi tujuan pembiakan.

“Selain daripada pertukaran haiwan, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk melaksanakan perkongsian kepakaran dari segi pembiakan, penjagaan dan rawatan haiwan serta latihan kepada Zoologist.

“Untuk pertukaran haiwan, kita baru mendapat persetujuan, bagaimanapun masih belum lagi mendapat tarikh dan permit. Kerana pengeluaran dan kemasukan haiwan perlu ada kelulusan dari Perhilitan.

“Namun kita akan usaha untuk laksanakan pada tahun ini juga pertukaran haiwan terbabit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hadir sama menyaksikan majlis MoU tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan beberapa lagi zoo di negara seberang.

“Insyallah, kita memang ada perancangan untuk membuat MoU bersama zoo-zoo lain di Indonesia selepas ini.

“Ini antara usaha untuk membawa lebih banyak haiwan yang hampir pupus bagi tujuan pembiakan di Zoo Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5576
Kongsi :
Previous post UTeM rangkul dua emas juarai dua kategori Anugerah Hijau Melaka
Next post ‘Sambal Ketat’ Mak Iza pembuka selera
Ubah saiz-+=