UTeM rangkul dua emas juarai dua kategori Anugerah Hijau Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Januari – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengukir kecemerlangan berganda apabila berjaya menjuarai dua kategori utama dalam Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2022, baru-baru ini.

AHM anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi, institusi, kerajaan, swasta serta komuniti melaksanakan inisiatif teknologi hijau di negeri ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kejayaan itu menzahirkan bahawa UTeM terus komited dalam mempraktikkan inisiatif teknologi hijau secara komprehensif dan berterusan.

Jelasnya, pada AHM ini UTeM telah menghantar dua penyertaan dan menjuarai dua daripada empat kategori utama dipertandingkan iaitu Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Inovasi Hijau serta Program Komuniti Hijau.

“Kemenangan UTeM adalah menerusi Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) yang memenangi emas bagi kategori Pembudayaan Hijau manakala satu lagi emas dimenangi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) bagi kategori Inovasi Hijau.

“Kejayaan ini meletakkan UTeM di hadapan dalam kalangan 38 penyertaan yang lain dan membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM 5,000 setiap satu kategori selain trofi serta sijil penghargaan,” katanya.

Mengulas lanjut Massila berkata, sebelum ini UTeM memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan dan Anugerah Tenaga peringkat ASEAN pada tahun 2021.

“Justeru kejayaan terbaharu ini telah meneruskan kecemerlangan UTeM sebagai peneraju utama di Melaka, Malaysia malahan Asia Tenggara dalam bidang Kecekapan Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar,” ulasnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2649
Kongsi :
Previous post Empat individu didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0
Next post Zoo Melaka tukar harimau dengan Zoo Batu Secret, Indonesia
Ubah saiz-+=