Empat individu didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Empat individu didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob, Ketua Pegawai Eksekutif NVDS Technology Sdn Bhd Md Zaidi Muhammad, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, manakala bekas pengarah syarikat Lan Trading & Construction Con dan Percetakan Haz Sdn Bhd Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan.

Md Zaidi didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bertarikh 22 April 2021 melalui seorang wanita kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM343,660.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.

Mohamed Hazzri yang berdepan dua pertuduhan didakwa memberikan borang pengesahan bertarikh 3 Jun dan 29 Jun 2021 melalui seorang lelaki kepada dua pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM40,900 dengan niat sama.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohamed Hazzri dan pemilik syarikat Ilham Diya Enterprise, Nor Rizan Zakaria, 59, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberikan borang pengesahan bertarikh 6 Mac 2021 dan 29 Mei 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM110,800 dengan niat sama.

Bagi prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi pula, pengurus syarikat Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31, mengaku tidak bersalah memberikan borang bertarikh 31 Julai 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM9,100 dengan niat sama.

Md Zaidi dan Muhammad Asyraf didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya manakala Mohamed Hazzri dan Nor Rizan di Pejabat Perkeso, Jalan Ampang di sini, antara 6 Mac 2021 hingga 13 Sept 2021.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozina membenarkan Md Zaidi dan Mohamed Hazzri masing-masing diikat jamin RM25,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang ke luar negara, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga pelupusan kes serta menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan kes.

Suzana pula membenarkan Mohamed Hazzri dan Nor Rizan masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan kes pada 7 Feb.

Muhammad Asyraf dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Feb.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry, A.Kalaivani dan Atiqah Alias manakala Md Zaidi diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli dan Nor Rizan diwakili peguam Hasmah Nordin serta Mohamed Hazzri dan Muhammad Asyraf tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2055
Kongsi :
Previous post LCS: MINDEF puas hati status terkini pembinaan, yakin kapal pertama siap 2024
Next post UTeM rangkul dua emas juarai dua kategori Anugerah Hijau Melaka
Ubah saiz-+=