LCS: MINDEF puas hati status terkini pembinaan, yakin kapal pertama siap 2024

LUMUT, 9 Jan – Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan status terkini proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) termasuk sebuah daripada enam kapal yang diyakini siap pada tahun hadapan, kata menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad hasil lawatan beliau ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mendapati pembinaan kapal-kapal tersebut menepati masa ditetapkan secara berperingkat mengikut kesesuaian masing-masing.

“Untuk kapal pertama, ia telah 70 peratus (siap). Tinggal satu blok sahaja yang perlu dilengkapkan, ia tidak ambil masa. Bahagian enjin, baling-baling, kotak gear telah dimasukkan, tinggal peralatan elektrik dan kemudiannya senjata.

“Saya yakin, kapal pertama ini akan siap pada 2024 sebelum ujian di peringkat pelayaran di laut dan kemudiannya ditauliahkan,” katanya pada sidang media selepas lawatannya hari ini.

Mohamad sebelum ini dilapor berkata kerajaan akan meneruskan projek pembinaan LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara dan tentera laut dengan usaha itu turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi merealisasikan penyiapan aset ketenteraan berkenaan.

Dilapor, Kementerian Pertahanan juga sudah berunding untuk membawa kertas projek itu untuk terus berjumpa dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk menerangkan perkara yang sebenarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lepas itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Okt lepas, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein,dilaporkan berkata pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun lepas.

Ditanya mengenai status kapal lain, Mohamad berkata ia sudah mencapai tahap antara 22 hingga 48 peratus siap mengikut kesesuaian masing-masing dari segi pemasangan peralatan elektrik, elektronik, persenjataan dan beberapa perkara teknikal lain.

“Saya dimaklumkan, kapal-kapal lain mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. Ada yang perlu diperiksa dari segi bocor, artileri dan ECU (unit kawalan elektronik). Harapan kita agar semua masalah sebelum ini selesai. Ini termasuk isu dengan orang tengah yang kini di peringkat akhir untuk diselesaikan iaitu selepas ini kita akan terus berurusan dengan vendor sahaja.

“Ada juga yang bertanya kenapa teruskan projek LCS ini (dalam status ketidaktentuan ekonomi negara), jawapan saya mudah iaitu hal kedaulatan dan pertahanan negara tidak boleh dikompromi. Anda boleh katakan apa sahaja yang anda suka namun MINDEF (Kementerian Pertahanan) tetap fokus dalam hal ini,” katanya.

Mohamad yang turut melawat perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di situ termasuk untuk TLDM dan kakitangan awam berkata perumahan berkenaan akan ditambah baik secara berperingkat.

“Dijangkakan kesemua 39 blok perumahan ini akan ditambah baik untuk manfaat kira-kira 25,000 orang ini. Saya minta hal ehwal anggota ini turut diberi keutamaan,” katanya.

Program hari ini turut dihadiri Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Udara Markas Udara TLDM Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1328
Previous post Op Kontraban: 23 ditahan, lebih RM27 juta barangan dirampas minggu pertama tahun ini
Next post Empat individu didakwa kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0