Zuraidin tarik diri, Mohd Sumali menang tanpa bertanding presiden PSM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MELAKA 10 Feb – Keputusan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah menarik diri pada saat akhir membolehkan Datuk Mohd Sumali Reduan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, pihaknya menerima kenyatan media yang dibuat oleh Zuraidin bagi mengumumkan keputusan tersebut sebelum jawatankuasa menutup pengesahan calon yang bertanding pada pukul 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, keputusan itu sekali gus membolehkan Mohd Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden kali ini.

“Setelah tarikh tutup pencalonan pada 6 Feb lalu dan tarikh tutup pengesahan calon-calon yang bertanding pada hari ini, 10 Feb jam 12 tengah hari.

“Maka, tiada pertandingan Jawatankuasa Tertinggi PSM bagi penggal 2022-2025,” katanya pada kenyataan media di sini.

Menurut kenyataan media, Zuraidin mengambil keputusan demikian bagi memberi laluan kepada Mohd Sumali untuk menerajui PSM.

Ia sekali gus membolehkan Sumali yang sebelum ini sebagai Naib Presiden PSM, menang tanpa bertanding sekali gus muncul Presiden badan induk kebangsaan itu yang keenam sejak penubuhannya pada 25 Jun 1960.

Hanya nama mereka yang dicalonkan bagi merebut kerusi nombor satu jawatankuasa tertinggi persatuan setelah ditinggalkan kosong ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Ismail pada 5 Jun lalu.

Zuraidin hanya mendapat dua pencalonan berbanding tujuh buat Sumali.

Turut mengisi kerusi jawatankuasa tertinggi PSM ialah bagi jawatan timbalan presiden iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Datuk Abdul Halim Suleiman dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara untuk jawatan naib presiden diisi oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP), Datuk Abu Jimi Samat; Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA), Datuk Awang Sham Amit

Menurut Abidullah, pengesahan secara bagi semua jawatan tertinggi jawatankuasa itu akan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM Sabtu ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar Kepimpinan baharu PSM kali ini dapat memberi sinar baharu dalam sukan sepak takraw negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

908
Kongsi :
Previous post Jalan pesisir Pantai Seberang Takir sehingga Jambatan Angkat ditutup mulai Ahad ini
Next post Shikin wira haiwan terbiar
Ubah saiz-+=