100 mahasiswa UTeM sahut cabaran daki Bukit Satria

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 13 Jan – Bukit Satria di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini telah menjadi lokasi baharu aktiviti riadah di Melaka.

Ia selepas lebih 100 mahasiswa dan pegawai telah menyertai program Tophill Adventure, baru-baru ini.

Mengambil maklum situasi pandemik ditambah dengan musim peperiksaan akhir semester yang akan bermula tidak lama lagi, para mahasiswa mengambil peluang untuk melakukan eksplorasi bukit Satria ini sebagai aktiviti fizikal.

Selain itu ia juga diadakan untuk merehatkan minda daripada tekanan pengajian dan tekanan emosi.

Aktiviti unik yang diadakan di puncak Bukit Satria ialah slot pengisian motivasi menghadapi peperiksaan dalam era pandemik yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Pengarah Program Tophill Adventure, Imran Kassim, 25 berkata program bercorak santai dan bermanfaat seperti ini dapat mencapai beberapa objektif antaranya mengeratkan hubungan pelajar yang berbeza latar belakang, agama dan kaum, di samping membentuk minda yang cerdas.

“Aktiviti seperti ini adalah sangat menarik dan kami tertunggu-tunggu sebelum ini kerana had aktiviti serta kesibukan akademik lebih-lebih lagi dengan cabaran pembelajaran secara maya” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif (depan kiri) antara yang mengambil bahagian dalam aktiviti mendaki Bukit Satria.

Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah UTeM, Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, ia adalah program pertama tahun 2022 yang diadakan dengan mengambil kira segala aspek keselamatan dan kesihatan terutama dalam musim pandemik.

“Kita mengambil peluang pada sebelum peperiksaan yang dijadualkan akhir bulan bermula sebagai aktiviti santai bagi mengurangkan tekanan emosi, mental serta bebanan akademik pelajar dengan program bercorak riadah dan motivasi ini” katanya yang juga Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM.

Bukit satria yang terletak di kawasan persekitaran Kompleks Kediaman Satria boleh memuatkan 5,000 orang mahasiswa pada satu-satu masa.

Ia merupakan lokasi aktiviti fizikal yang sesuai untuk pelbagai latar belakang kerana tidak terlalu curam serta hanya memerlukan sekitar 30 minit untuk sampai ke puncak bukit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1411
Kongsi :
Previous post Tiga kuil dibuka untuk Thaipusam di Melaka
Next post Banjir Melaka pulih, semua pusat pemindahan ditutup
Ubah saiz-+=