100 peratus pekerja SWM lengkap vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LUMPUR 15 Dis – SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) telah mencapai tahap 100 peratus pekerja syarikat yang lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat Dis tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment Ho De Leong berkata, secara keseluruhan seramai 8,031 pekerjanya yang melibatkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor kini sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19

“Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan oleh pihak syarikat terutamanya bagi aspek kesedaran dan penyebaran maklumat yang tepat kepada semua pekerja tentang manfaat dan kebaikan vaksin COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah De Leong, sebanyak 98 peratus atau seramai 3,996 orang pekerja kontraktor yang dilantik oleh SWM Environment juga sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Katanya, SWM Environment amat menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam memastikan kelancaran pemberian suntikan vaksinasi sebelum ini.

“Jalinan kerjasama erat akan diteruskan dengan semua pihak tersebut bagi memastikan proses pemberian vaksin kepada baki pekerja-pekerja yang masih menunggu giliran berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, pihak SWM Environment turut melaksanakan Inisiatif Pencegahan Jangkitan COVID-19 secara berterusan melalui pengagihan Pek Perlindungan COVID-19 kepada semua pekerjanya seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri serta melaksanakan proses nyahcemar semua jentera dan peralatan operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Langkah pencegahan turut diambil melalui dasar kesihatan pekerjaan dengan menggunapakai prosedur TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari) bagi mengekang rantaian jangkitan COVID19 dalam kalangan pekerja.

Pihak SWM Environment ingin mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan di samping menguruskan sisa berkaitan COVID-19 seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri secara tertib dengan memasukkan sisa-sisa tersebut ke dalam tong sampah bagi menghindari risiko jangkitan
COVID-19 dalam kalangan pekerja pembersihan di lapangan.

Dengan langkah ini, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam akan berjalan lancar serta dapat memenuhi usaha kerajaan dalam meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dibuka semula di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1979
Kongsi :
Previous post 312 meteor Geminids dilihat dengan jelas di Pulau Pinang
Next post Lim Guan Eng terima gaji RM44,375 sebulan sebagai Ketua Menteri – Saksi
Ubah saiz-+=