1,037 terima suntikan vaksin COVID-19 hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 2 Mac. – Seramai 1,037 individu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech serentak di 23 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Melaka, hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu 665 penerima adalah kalangan petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), manakala 372 lagi penerima melibatkan petugas barisan hadapan daripada agensi lain.

Katanya, semua individu berkenaan menerima suntikan di 19 fasiliti kesihatan termasuk tiga hospital kerajaan di negeri ini dan klinik kesihatan.

“Empat lagi PPV melibatkan fasiliti kerajaan iaitu di Dewan Seri Negeri, Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh serta Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima suntikan itu pada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hasan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, hanya 60 individu membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), petugas kerajaan negeri serta wakil rakyat menerima suntikan di dewan berkenaan.

“Di peringkat kerajaan negeri, hanya 60 orang termasuk EXCO terima suntikan hari ini, jadi jika ada yang dakwa kata ahli politik, anggota keluarga potong barisan, datang lah sini tengok adakah saya bawa isteri dan anak-anak?

“Kerajaan negeri hanya hantar cadangan nama siapa yang perlu dan layak untuk terima suntikan, manakala keputusan itu dibuat oleh JKN dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)…bukan kerajaan negeri yang tentukan,” katanya.

Untuk rekod, seramai 12,870 orang petugas barisan hadapan dijadual menerima suntikan pada fasa pertama, manakala fasa 2 pada April hingga Ogos akan membabitkan 250,000 orang dalam kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Bagi fasa ketiga yang dijadualkan pada September 2021 hingga Februari 2022 disasarkan untuk penduduk berumur 18 tahun ke atas iaitu warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 400,000 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post Mufti Melaka dilantik Profesor Adjung KUIM
Next post 7,000 anggota bomba didaftar dalam fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Ubah saiz-+=