11 pasar raya terpilih di Melaka laksana Jualan Ihsan Rahmah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MASJID TANAH 23 Januari – Sebanyak 11 pasar raya terpilih melibatkan 58 premis peruncitan di Melaka melaksanakan Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada setiap 24 hari bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi PJIR Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka ruang lebih luas kepada sektor swasta serta industri untuk merintis program berkenaan.

“Program ini di bawah kerangka agenda Payung Rahmah yang mana tujuannya membuka ruang lebih luas kepada industri dan swasta untuk memperkembangkan produk gagasan rahmah.

“Terima kasih kepada Negeri Melaka kerana menjadi perintis PJIR, sudah tentu ia memberi manfaat kepada semua selain sektor peruncitan.

“Setiap 24 hari bulan masyarakat khususnya di Melaka boleh membeli barang keperluan harian pada harga lebih rendah iaitu diskaun 10 hingga 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PJIR TMM2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan beliau, Tuminah Kadi@Mohd Hasim.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata KPDN akan memperluaskan program itu ke negeri-negeri lain bagi memastikan seluruh rakyat di negara ini merasai manfaat yang sama.

“Kita harap program ini mendapat maklum balas baik masyarakat Melaka khususnya golongan memerlukan dengan membantu mereka membeli barangan di pasar raya pada harga lebih rendah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3970
Kongsi :
Previous post Agong kurnia gelaran Tan Sri kepada Panglima Tentera Darat
Next post KLIP pelabuhan berteknologi hijau antarabangsa
Ubah saiz-+=