KLIP pelabuhan berteknologi hijau antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat
KUALA LINGGI 23 Januari – Pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) menjadi satu lambang kemajuan dan inovasi dalam industri maritim negara.
Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya berkata, pembinaan kemudahan bertaraf antarabangsa itu sejajar dengan permintaan dunia dalam mewujudkan sebuah pelabuhan berteknologi hijau mampu merangsang pembangunan ekonomi pada masa hadapan.
Menurutnya, KLIP akan dilengkapi kemudahan terkini dan berteknologi hijau seperti sistem logistik pintar dan ketepatan masa bagi mengoptimumkan kecekapan operasi.
“KLIP yang akan siap menjelang tahun 2027 ini dilengkapi tangki simpanan bagi mengendalikan kargo cecair pukal, gas petroleum cecair (LPG) dan gas asli cecair (LNG) serta kawasan khusus untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal.
“Kami bukan sekadar membina pelabuhan tetapi juga sedang membina simbol kemajuan, kerjasama dan inovasi dalam ekosistem maritim yang merangsang pembangunan ekonomi serta mewujudkan peluang kerja untuk generasi hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah KLIP dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah itu Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri, Pengerusi KLIP, Tun Mohd Khalil Yaakob, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.
Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri.
Menurut beliau, kedudukan KLIP di Kuala Linggi merupakan satu lokasi yang strategik di Selat Melaka.
Jelasnya, Selat Melaka adalah laluan tersibuk yang digunakan hampir 100,000 kapal dagang dunia setiap tahun.
“Kedudukannya yang strategik membawa satu peluang kepada negeri ini kerana direkodkan hampir 100,000 kapal merentasi Selat Melaka dalam tempoh setahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

689
Kongsi :
Previous post 11 pasar raya terpilih di Melaka laksana Jualan Ihsan Rahmah
Next post Kenduri kahwin Kampung Ladang meriah sempena penilaian Laman Indah Melaka
Ubah saiz-+=