Kenduri kahwin Kampung Ladang meriah sempena penilaian Laman Indah Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

DUYONG 23 Januari – Meskipun ia hanya majlis perkahwinan olok-olok yang menampilkan pengantin cilik namun kemeriahan dan suasana kenduri jelas dirasai apabila ia dilangsungkan dengan penuh adat tradisional Melayu.

Majlis yang diadakan secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Ladang, Semabok, itu adalah bersempena pertandingan peringkat akhir Laman Indah Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengunjung yang hadir ke majlis itu jelas dapat merasai seakan berkunjung ke kenduri kahwin sebenar apabila ada di antara penduduk kampung sibuk bergotong royong menyediakan kuih-muih dan ada yang tugaskan menyambut tetamu malah pengantin turut diarak ke tempat persandingan sebelum acara kemuncak tepung tawar dilakukan.

Malah kawasan kediaman yang dipilih menjadi lokasi berlangsungnya majlis turut dihias cantik bukan sahaja dengan pokok bunga tetapi juga diletakkan pintu gerbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, bersempena pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu sebanyak dua kampung di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu termasuk Kampung Bukit Duyong, terpilih dan layak ke peringkat akhir.

“Uniknya walaupun kampung berlainan namun ia mempunyai kesinambungan dan jalan cerita sama yang dibawa dalam mengetengahkan permuafakatan antara rakyat dan warisan kehidupan masyarat Melayu.

“Seperti Kampung Ladang, ini, konsep yang diketengahkan adalah perkahwinan Melayu jadi semuanya diatur dengan penuh tertib bermula dari sambutan pengantin sehinggalah ke jamuan makan selain turut diselitkan juga dengan tarian untuk menghiburkan pengunjung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Penjurian Pertandingan Laman Indah, di Kampung Ladang, Semabok.

Whatsapp Image 2024 01 23 At 15.26.09 C8e4f26f
Mohd Noor Helmy menepung tawar pengantin cilik

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, penduduk menghabiskan masa selama sebulan bagi memastikan perancangan yang dibuat dilaksanakan dengan sebaiknya sekali gus memikat hati barisan panel penjurian.

“Selama sebulan penduduk kampung ini bergotong-royong tidak kira peringkat usia bagi memastikan apa yang dirancang dapat diterjemahkan dan apa menariknya ia bukan sahaja sebuah pertandingan tetapi hubungan silaturahim antara penduduk itu bertambah erat.

“Malah secara tidak langsung juga penduduk kampung dapat tonjolkan dan perkenalkan produk mereka, jadi bagi saya dengan pemilihan konsep dan apa yang diusahakan oleh kampung yang terbabit ini akan membuahkan hasil selain ‘memikat’ juri yang menilai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3746
Kongsi :
Previous post KLIP pelabuhan berteknologi hijau antarabangsa
Next post Pelabuhan antarabangsa di Melaka siap 2027
Ubah saiz-+=