Sorting by

×

12,340 pencari kerja 40 tahun ke atas sudah kembali bekerja

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

GADEK 7 Oktober – Seramai 12,340 pencari kerja berusia 40 tahun berjaya mendapatkan pekerjaan sekali gus menyumbang kepada trend penurunan kadar pengangguran di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata jumlah itu diperolehi berdasarkan inisiatif dilaksanakan kementeriannya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu golongan itu mendapatkan semula pekerjaan. 

Katanya, pelbagai sesi webinar dan taklimat kerjaya telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada majikan dalam menggajikan golongan yang berumur 40 tahun ke atas.

“Ini bagi memastikan golongan pada usia itu yang tidak mempunyai pekerjaan untuk ditempatkan semula ke alam pekerjaan.

“Temuduga khas telah diadakan bagi membantu golongan ini dan seramai 12,340  orang telah berjaya dibantu bekerja semula di seluruh Malaysia,

“Daripada jumlah itu seramai 538 orang telah berjaya dibantu bekerja semula di Negeri Melaka bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Madani Bersama Menteri Sumber Manusia di Negeri Melaka di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa, Datuk Amran Ahmad; Pegawai Khas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Asyraf Mukhlis Minghat.

Dalam pada itu, Sivakumar menggesa majikan supaya memberi  keutamaan kepada pengambilan pekerja tempatan sebagai mana Kempen Ambil Pekerja Lokal dilancarkan di bawah kementeriannya.

“Usaha ini bagi memastikan kadar kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan.

“Kadar kebergantungan kita pada pekerja asing adalah sangat tinggi dan banyak majikan masih mahu membawa pekerja asing namun kementerian dan agensi di bawahnya sedang giat berusaha supaya kita mempunyai sumber tenaga tempatan secukupnya.

“Jadi untuk menjayakan usaha ini saya mohon semua majikan supaya bekerjasama untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan, kalau boleh 100 peratus pekerja tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1328
Kongsi :
Previous post Lima kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat setakat 4 petang
Next post Sebak diri hilang upaya, punca pendapatan
Ubah saiz-+=