1291 notis kesalahan merokok dikeluarkan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 5 Sept. – Sebanyak 1,291 Notis Kesalahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, dari angka tersebut sebanyak 334 operasi telah dilaksanakan pihaknya mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Ujarnya, notis berkenaan turut dikeluarkan di lima lokasi Zon Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) dengan jumlah 479 notis berdasarkan kesalahan sama di bawah PPKHT 2004.

“Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini JKN Melaka telah mengutip sebanyak 591 kompaun yang telah dibayar dengan nilai pungutan hampir RM79,000.

“Manakala sebanyak 307 kes telah didaftarkan di mahkamah bagi individu yang gagal membayar kompaun ini malah sebanyak 27 kes telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dengan kutipan bernilai RM14,150,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi PPKHT 2004 di Jalan Jonker, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar memberi kerjasama dan mematuhi peraturan terbabit bagi bersama memberi sokongan terhadap usaha murni Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melindungi orang ramai terhadap asap rokok.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat agar mematuhi peraturan yang ditetapkan terutama di kawasan-kawasan yang diwartakan sebagai zon larangan merokok di negeri ini.

“Perkara ini penting bagi mengekalkan imej Melaka yang bebas asap rokok terutama di lokasi utama pelancongan negeri yang sekali gus menjaga persepsi negeri daripada pelancong luar,” katanya.

Sejak 14 Jun 2011 Melaka telah mengisytiharkan lima lokasi sebagai Zon MBAR meliputi semua bahagian dalam bangunan, taman permainan kanak-kanak dan taman rekreasi.

Lima zon terbabit termasuk di Bandaraya Warisan Dunia, Melaka Raya, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Pusat Bandar Alor Gajah dan Pusat Bandar Jasin.

Malah, pewartaan itu juga turut meliputi dua lokasi Zon Eksklusif MBAR meliputi bahagian dalam bangunan dan sepanjang Jalan Jonker dan Jalan Kota.

Views:

632
Kongsi :
Previous post ‘Ular sawa menyerang lagi’
Next post KM adakan lawatan ke DUN Duyong
Ubah saiz-+=