‘Ular sawa menyerang lagi’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Sept. – Jumaat lalu ayam kampung yang baru dipeliharanya ditelan ular sawa dan hari ini seekor lagi ayamnya dibaham reptilia ganas itu.

Serangan kali kedua ular sawa terhadap ayam kampung yang baharu seminggu dipelihara benar-benar mencabar kesabaran seorang usahawan muda yang baharu berjinak-jinak dengan industri itu.

Selepas seekor ayam jantan baka ditelan ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat kira-kira 40 kilogram (kg) pada 28 Ogos lalu, hari ini seekor lagi ayam peliharaan Mohd Zaki Ibrahim, 36, menjadi mangsa serangan reptilia berkenaan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Mohd Zaki terkejut apabila mendapati haiwan berkenaan berlingkar di bawah rak besi dalam reban ayam akibat kekenyangan selepas menelan seekor ayam betina.

“Baharu sahaja Jumaat minggu lalu seekor ayam jantan baka dibaham ular sawa, hari ini seekor lagi menjadi mangsa.

“Ular mempunya deria bau mangsa yang amat kuat dan sanggup menyelinap masuk ke dalam reban semata-mata untuk mendapatkan mangsanya,” katanya selepas menangkap ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat 30 kg di reban ayam yang baharu dibinanya di Kampung Londang, di sini hari ini.

Dengan dibantu rakannya, Izani Baharin, 21, ular berkenaan berjaya ditangkap dalam tempoh kira-kira lima minit selepas kepala haiwan itu ditekan Izani dengan kayu sebelum Mohd Zaki menangkap lehernya.

Meskipun terpaksa menahan kesakitan apabila lengannya dibelit, Mohd Zaki tetap memberanikan diri mengikat leher ular dengan tali sebelum memasukkannya ke dalam guni untuk dilepaskan ke dalam hutan.

Peniaga kuih keria itu berkata, beliau melepaskan 100 ayam kampung dalam enam reban yang baharu siap dibina dua minggu lalu bagi memulakan industri penternakan ayam kampung yang menerima permintaan tinggi di pasaran sekarang.

Kehadiran tetamu tidak diundang untuk kali kedua hari ini bukan setakat menyebabkannya menanggung kerugian, malah mencabar kesabarannya sebagai penternak ayam.

Sehubungan itu Mohd Zaki terpaksa mencari jalan bagi mengelakkan reban berkenaan dimasuki ular dan penceroboh lain seperti musang yang turut berminat dengan jumlah ayam yang kian bertambah dalam reban.

Views:

553
Kongsi :
Previous post MAIM tingkatkan usaha pembayaran zakat
Next post 1291 notis kesalahan merokok dikeluarkan
Ubah saiz-+=