13 bazar Ramadan, 3 bazar Aidilfitri di Alor Gajah
BANDA HILIR 14 Mac – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) meluluskan 16 bazar termasuk tiga bazar Aidilfitri, di daerah itu sepanjang Ramadan tahun ini.
Yang Dipertuanya, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, berlaku pertambahan bilangan bagi kedua-kedua tapak jualan untuk tahun ini berbanding tahun lalu hanya lapan lokasi sahaja.
Beliau berkata, selepas tempoh pandemik dan keadaan kembali seperti biasa, sudah pasti sambutan juga amat menggalakkan disebabkan itu penganjuran bazar diperluaskan ke skala besar.
“Daripada 13 pasar Ramadan, tujuh bertempat di Alor Gajah dan enam di kawasan Masjid Tanah manakala bagi bazar Aidilfitri, satu di Pulau Sebang serta dua akan dianjurkan di Masjid Tanah.
“Namun MPAG juga kini dalam perancangan untuk menambah satu lagi bazar Aidilfitri dengan menempatkan kira-kira 40 peniaga di Dataran Alor Gajah, bagaimanapun ia masih dalam perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai MPAG Bersama Rakan Media 2023, di sebuah hotel di Jalan Bunga Raya, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Pengarah Penguatkuasa MPAG Radzyma Mahat dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.
Menurut Saifuddin, meskipun garis panduan masih berpandukan penganjuran sebelum ini tetapi pihaknya mengingatkan kepada peniaga agar aspek kebersihan terutamanya cara kerja penyediaan makanan diutamakan.
“Kebersihan perlu diutamakan dan dijaga malah kita ada membuat taklimat kepada peniaga yang terbabit agar aspek kebersihan ini dititik beratkan.
“Selain itu peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, diingatkan juga agar meletakkan harga berpatutan supaya orang ramai mampu untuk membeli,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.