131 individu ditahan berhibur di pusat hiburan

Masa Membaca:54 Saat

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Meskipun negara sedang mengalami gelombang ketiga penularan  pandemik COVID-19, masih ramai yang berdegil apabila terus berhibur di pusat hiburan, dengan  seramai 131 individu ditahan atas kesalahan berkenaan, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka antara 568 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, dan daripada jumlah itu, 516 dikompaun, 49 direman dan tiga lagi dijamin.

Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain termasuk gagal mematuhi penjarakan fizikal (160), tidak memakai pelitup muka (116), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (43) dan lain-lain (62).

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata 42 pendatang asing diberkas hasil daripada kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

–BERNAMA

Views:

351
Kongsi :
Previous post Usahawan SME terima manfaat PENJANA HRDF
Next post RCEP instrumen penting pemulihan ekonomi
Ubah saiz-+=