15,000 pengunjung dijangka meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MACHAP JAYA 11 Februari – Dianggarkan seramai 15,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2024 Kerajaan Negeri Melaka di Jonker Walk pada 22 Februari depan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, 10,000 tetamu terawal bakal menerima baucar bernilai RM15.

Jelasnya, persiapan majlis itu sedang giat dibuat selain peruntukan juga sudah diluluskan Kerajaan Negeri.

“Sambutan agak luar biasa berbanding sebelum ini apabila Jonker Walk dipilih sebagai lokasi penganjuran selain 10,000 pengunjung terawal akan diberikan baucar RM15 setiap seorang.

“Baucar ini diberikan bagi membolehkan mereka yang hadir untuk berbelanja seperti membeli makanan, minuman ataupun cenderahati yang dijual di Jonker Walk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya ditemui pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Adun Machap Jaya, di kediamannya di Selandar, semalam.

Katanya, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dijangka hadir memeriahkan sambutan.

Turut dijangka hadir ke rumah terbuka itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurut Hee Sem, sejumlah RM150,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pemberian baucar itu, sekali gus membantu peniaga sekitar Jonker Walk.

“Sebagai makluman sambutan kali ini tidak berkonsepkan jamuan makan seperti selalunya disebabkan itu pengunjung yang hadir akan diberikan baucar bagi membolehkan mereka membeli makanan dan minuman yang dijual sekitar kawasan itu.

“Dengan cara ini kita dapat membantu peniaga di Jonker Walk menjana pendapatan selain pengunjung dapat membuat pilihan sendiri sepanjang berlangsungnya acara antara jam 7 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2177
Kongsi :
Previous post Jumpa bom mortar di belakang rumah
Next post Kes pemerasan: Dua anggota dilepaskan dengan jaminan
Ubah saiz-+=