159,159 dos vaksin diberikan di Melaka setakat semalam

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI UDANG 24 Jun – Melaka mencatatkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 sebanyak 159,159 dos setakat semalam dengan kira-kira 100,000 daripadanya membabitkan dos pertama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kadar berkenaan memuaskan hati kerajaan negeri yang meletakkan sasaran 74 peratus rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin.

“Kebanyakan mereka yang menerima suntikan vaksin itu adalah yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan alhamdulillah, seramai 159,159 dos sudah disuntik.

“Saya amat berharap operasi pemberian vaksin ini berjalan lancar di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri,” katanya ketika ditemui meninjau operasi PPV Sungai Udang di Kompleks Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

SULAIMAN menyerahkan sumbangan makanan kepada pegawai KKM di PPV Sungai Udang di Dewan JAPERUN Sungai Udang, Tanjung Kling.

Hadir sama, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr Ismail Ali.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri berharap majoriti rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya minta orang ramai supaya memenuhi janji temu yang ditetapkan bagi mengelakkan kesukaran dan kelewatan penerimaan vaksin pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, usaha menghubungi penerima vaksin bagi mengingatkan mereka mengenai janji temu seperti yang dilakukan Sukarelawan Masjid Tanah di PPV Masjid Tanah harus dicontohi sukarelawan di tempat lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post MUFC makin serasi!
Next post Polis rampas 18.5 juta rokok seludup bernilai RM13.9 juta
Ubah saiz-+=