17 kawasan di Melaka terjejas banjir

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MELAKA 23 Jun – Hujan lebat sejak jam 4 pagi tadi menyebabkan 17 kawasan di negeri ini dinaiki air.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, situasi banjir itu setakat ini hanya membabitkan dua daerah iaitu Melaka Tengah dan Jasin.

Menurut kenyataan itu sebanyak 16 kawasan di daerah Melaka Tengah terjejas banjir iaitu Taman Rambai Indah, Gedung Lalang, Kg Pinang A, Pokok Mangga, Pekan Klebang Besar, Pulau Gadong, Taman Bukit Rambai, Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya.

Selain itu, turut terlibat ialah Tanjung Minyak, Kg Bukit Datuk A, Kg Tampoi, Kampung Pengkalan Rama Pantai, Rumah Awam Pantai Peringgit, Taman Desa Molek dan Kg Padang Bukit Lintang.

Manakala di daerah Jasin terdapat satu sahaja lokasi terjejas banjir iaitu di Serkam.

Bagaimanapun setakat ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini di Kampung Air Hitam A, Tanjung Minyak mendapati, paras sungai berhampiran semakin meningkat dan melimpah ke kawasan perumahan penduduk.

Terdapat beberapa rumah dinaiki air dari paras lutut sehingga paras paha di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk memaklumkan, air mula naik sekitar jam 6 pagi tadi menyebabkan dia sekeluarga terpaksa memindahkan barangan berharga ke lokasi selamat.

“Sudah hampir setahun tidak banjir dan kali ini terjadi lagi. Mujurlah kami sempat mengeluarkan segala barangan penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2231
Kongsi :
Previous post Naik taraf infrastruktur Kampung Air Pasir dan Kampung Machap Baru
Next post Enam sekeluarga selamat rumah dilanda banjir
Ubah saiz-+=