1,700 calon UPKK Melaka peroleh 8A

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

PENGKALAN BATU 18 April – Seramai 1,700 daripada 7,888 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam kesemua lapan mata pelajaran yang diambil.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pencapaian itu juga membantu Melaka merekodkan pencapaian keseluruhan UPKK lulus 100 peratus selama 13 tahun berturut-turut.

Jelasnya, berbanding tahun lalu keputusan UPKK 2023 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 21.55 peratus berbanding tahun lalu dengan hanya 1,050 pelajar yang memperoleh 8A selain berdasarkan analisis dibuat juga bilangan calon yang mendapat 8A, 7A, 6A dan 5A meningkat manakala penurunan direkodkan bagi keputusan 4A, 3A, 2A serta 1A.

“Pencapaian keseluruhan calon UPKK 2023 juga meningkat dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 1.71 iaitu meningkat sebanyak 0.16 berbanding GPN tahun lalu sebanyak 1.87. Malah rumusan secara keseluruhan Analisa Pencapaian Mata Pelajaran berdasarkan peratus lulus menunjukkan peningkatan bagi kesemua mata pelajaran.

“Kadar lulus bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) mata pelajaran Amali Solat berjaya mengekalkan kelulusan 100 peratus, diikuti Penghayatan Cara Hidup Islam yang meningkat kepada 100 peratus berbanding tahun lalu hanya 99.46 peratus, manakala mata pelajaran Al-Quran pula meningkat kepada 99.94 peratus, Ulum Syariah (84.49 peratus), Jawi dan Khat (93.33 peratus), Sirah (87.39 peratus), Adab (88.59 peratus) serta Lughatul Quran ( 79.12 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2023 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim, di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Rahmad yang juga Timbalan Pegerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, dengan keputusan yang direkodkan itu ia secara tidak langsung menyebabkan berlakunya peningkatan untuk keputusan bagi Gred Purata Daerah (GPD) dan Peratus Cemerlang 8A.

“Daerah Alor Gajah merekodkan GPD 1.65 dengan peratus calon yang memperoleh 8A adalah seramai 468 orang daripada jumlah keseluruhan 1,943 calon manakala Melaka Tengah pula mencatatkan GPD 1.75 dengan calon mendapat 8A adalah seramai 895 orang daripada 4,505 keseluruhan menduduki peperiksaan.

“Daerah Jasin pula mencapai GPD 1.64 dengan peratus calon yang memperoleh 8A adalah seramai 337 daripada 1,440 calon dan sekali gus diumumkan daerah terbaik UPKK 2023 berdasarkan GPD adalah Jasin, ” katanya.

Jelasnya, Mesyuarat Jawatankuasa Peperiksaan Sekolah Agama Melaka (JKPSAM) juga bersetuju dan memperaku seramai 38 murid cemerlang UPKK Peringkat Negeri 2023, di mana mereka akan menerima nugerah hadiah kecemerlangan berupa RM150 serta sijil.

“Manakala Pelajar Terbaik Peringkat Negeri Melaka pula akan menerima saguhati kecemerlangan sebanyak RM500 beserta sijil dan mereka adalah Adam Nurfirdaus Muhamad Shahrulnizam dari Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Paya Rumput, Masjid Tanah bagi kategori lelaki manakala untuk kategori perempuan pula adalah Khairunnisa Fazly dari SRA JAIM Al-Ikhlas, Masjid Tanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2250
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka Aidilfitri Durian Tunggal hidang lauk kampung
Next post Media berpengaruh di China sedia bawa sejuta pelancong ke Melaka
Ubah saiz-+=