Media berpengaruh di China sedia bawa sejuta pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 18 April – Anak syarikat Golden Eagle Broadcasting System (GBS) iaitu Mango Media Sdn. Bhd. berkolaborasi bersama Perbadanan Melaka Holdings (PMH) Travel & Event Sdn. Bhd. bagi membawa masuk pelancong dari Negara China ke Melaka.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri, hari ini.

Menurut Ab Rauf, syarikat GBS iaitu syarikat media berpengaruh di China telah bersetuju membawa satu juta pelancong dari negara itu membabitkan pelbagai wilayah ke Negeri Melaka dalam tempoh dua tahun.

“Mango Media akan mempromosi Melaka melalui dua strategi iaitu penjualan langsung dalam talian di platform ‘XHS’ dan TikTok melibatkan pempengaruh (influencer) terkemuka dalam pasaran untuk mempromosi Melaka kepada pengguna dalam talian di China.

“Mereka akan melakukan penjualan luar talian menggunakan ‘Hunan Broadcast’ yang mempunyai banyak saluran televisyen bagi mempromosi Melaka secara meluas melalui siaran televisyen tradisional.

“Ini sudah pasti akan memperluaskan lagi capaian kepada seluruh pelancong berhubung keistimewaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran perjanjian kerjasama itu di Bilik Bijasura Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Melaka Holdings (PMH), Siti Ainshah Osman; Pengarah Eksekutif Mango Media Sdn. Bhd., Datuk Ge Yamei dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerjasama itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka menerusi sektor pelancongan berikutan kejayaan GBS sebelum ini yang berjaya mempromosi lokasi terpencil di wilayah China.

“Lokasi tersebut telahpun menerima limpahan pengunjung dan peningkatan ekonomi komuniti setempat sehingga kini.

“Saya percaya usaha ini berpotensi memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada Negeri Melaka, selain memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post 1,700 calon UPKK Melaka peroleh 8A
Next post Lebih 150,000 lawat 14 muzium di Melaka
Ubah saiz-+=