240,991 OKU berdaftar untuk terima vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PETALING JAYA 17 Jun – Sebanyak 240,991 Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera, dengan 10,229 orang sudah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama sehingga semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah pendaftaran itu masih terlalu rendah berbanding 600,000 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita akan terus menjalankan usaha agar jumlah ini meningkat supaya golongan OKU ini tidak ketinggalan untuk mendapat vaksin,” katanya ketika meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu yang dikhaskan untuk OKU dan penjaga mereka di Sime Darby Plantation Berhad di sini semalam.

RINA (kiri) bertanya sesuatu dengan individu yang hadir di PPV secara pandu lalu yang dikhaskan untuk OKU dan penjaga mereka di Sime Darby Plantation Berhad. Foto – Facebook YB Rina.

PPV pandu lalu untuk OKU itu adalah PPV pertama seumpamanya di negara ini dan di Asia Tenggara, adalah kerjasama kementerian dengan OKU Sentral dan Sime Darby Plantation.

PPV tersebut menyasarkan untuk memvaksinasi 16,000 OKU dan penjaga mereka dalam program yang dijadualkan sehingga Oktober depan.

Turut hadir Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sementara itu, Rina berkata kementeriannya mengalu-alukan kerjasama dengan lebih banyak syarikat korporat untuk mewujudkan PPV sedemikian bagi memudahkan golongan OKU menerima vaksin mereka.

Katanya, terdapat permintaan supaya PPV itu dibuka di negeri-negeri lain dan kementerian akan berbincang dengan syarikat korporat yang berminat bagi tujuan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post Aplikasi ada unsur eksploitasi kanak-kanak dikekang
Next post Prasarana tawar aset bantu bantu pacu program vaksinasi nasional
Ubah saiz-+=