2,586 perwakilan lulus pindaan Perlembagaan UMNO, pemilihan parti diadakan selepas PRU

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR 15 Mei – Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Usul itu dibentangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju meluluskan usul berkenaan dalam persidangan yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ualng tahun ke-76 UMNO dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

Terdahulu, Khaled dalam pembentangan usul yang dibacakan kepada perwakilan memaklumkan bahawa secara umumnya, pindaan melalui Perhimpunan Agung Khas UMNO kali ini melibatkan hanya tiga fasal iaitu Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2.

“Dengan hanya melibatkan tiga fasal ini sahaja, ia bermakna pemilihan parti tetap diadakan tiga tahun sekali seperti yang terkandung dalam Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO. Sebaliknya peruntukan dan fasal baharu yang dipinda dan dimasukkan ini adalah fasal pengecualian kepada pemilihan tiga tahun sekali tersebut.

“Fasal pertama yang dipinda adalah Fasal 10.16 yang sekarang ini memperuntukkan bahawa: Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

“Fasal ini akan dipinda untuk memberi kuasa dan pilihan kepada MKT untuk membuat satu lagi bentuk penangguhan kepada pemilihan parti iaitu penangguhan selama 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan,” katanya.

Beliau menjelaskan perubahan itu menyaksikan peruntukkan Fasal 10.16 yang sedia ada akan dipinda menjadi Fasal 10.16.1 yang mana Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Menurutnya, penangguhan itu tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian.

“Maka, selain daripada tempoh penangguhan selama 18 bulan yang dibenarkan sebelum ini, MKT selepas ini turut berhak untuk menangguhkan pemilihan parti kepada suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan selepas sesuatu PRU itu diadakan, bergantung kepada yang mana satukah lebih terkemudian,” katanya lagi.

Justeru, secara tidak langsung, pindaan yang dibuat pada Fasal 10.16 itu bakal menyaksikan kedua-dua Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 akan turut terpinda membabitkan pemilihan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO, Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda, dan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Puteri dan Ahli-ahli Jawatankuasa bagi Fasal 15.3 serta pemilihan Ketua, Timbalan Ketua, dan lima belas (15) Ahli-Ahli Jawatankuasa Cawangan (Fasal 18.2).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Bantah jualan arak secara terbuka di kedai serbaneka
Next post 10 peniaga ditahan ketika leka bermain judi belangkas
Ubah saiz-+=