284 anak asnaf cemerlang peperiksaan terima insentif, sim kad prabayar bebas kredit
AYER KEROH 20 Mac – Seramai 284 pelajar cemerlang peperiksaan terdiri dari golongan asnaf menerima penghargaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, setiap pelajar cemerlang menerima sumbangan wang tunai dan kad prabayar percuma bebas kredit sebagai suntikan semangat pelajar asnaf yang lain di negeri ini.
“Bagi menghargai anak jati Melaka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan pada 2019, MAIM memperuntukkan RM50 untuk setiap mata pelajaran yang meraih gred ‘A’ dalam setiap peperiksaan umum, bermula dari Kelas Fardhu Ain (KAFA) sehinggalah ke Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Kita memperuntukkan insentif ini kepada anak asnaf di bawah MAIM, malah mereka turut diberi bantuan sim kad prabayar percuma selama dua bulan menerusi inisiatif daripada wakalah zakat oleh Telekom Malaysia (TM).
“Pada masa sama setiap insentif yang diterima akan dikreditkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai simpanan mereka melanjutkan pelajaran pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi 2021 MAIM di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md. Rawi Mahmud.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, sumbangan tahunan MAIM itu sebagai suntikan semangat golongan asnaf agar sentiasa berusaha melakar kejayaan pada masa hadapan.
“Semoga dengan sumbangan ini kita harap setiap anak asnaf di Melaka mampu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan agar dapat merubah nasib keluarga mereka pada masa akan datang,” katanya.
Pada program itu kira-kira 20 daripada 284 pelajar yang terpilih diraikan bersama ahli keluarga mereka dalam acara yang mengikut prosedur operasi standard (SOP), manakala insentif diterima pelajar lain akan disalurkan ke akaun simpanan masing masing.
Tiga anugerah utama turut diberikan pada majlis sama iaitu Anugerah Tokoh Pelajar, Anugerah Tokoh Usahawan dan Anugerah Tokoh Pembekal yang disampaikan Sulaiman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.