‘Tiada angin, tiada ribut MUFC dipotong 3 mata’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) menjadi pasukan pertama dipotong tiga mata oleh Badan bebas, First Instance Body (FIB).

FIB dalam kenyataan semalam memaklumkan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta itu dikenakan di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

“Berhubung kes Melaka United, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari lalu telah membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

“Namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka United didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata,” kata kenyataan itu.

Hukuman itu menyaksikan skuad Hang Tuah yang sudah mengutip empat mata hasil empat keputusan seri sebelum ini kini jatuh di tangga ke-10 Liga Super, berkongsi satu mata dengan Sabah FC dan UiTM FC.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika ditemui Melaka Hari Ini memaklumkan pihaknya akan menyiasat mengenai hukuman yang dikenakan itu namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, pemerhatian di ruangan komen MFL, rata-rata penyokong MUFC meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu.

Ada yang menyifatkan keputusan itu dibuat terburu-buru tanpa mengambil kira usaha dilakukan kelab dan pasukan berkenaan untuk menyelesaikan masalah.

Namun, tidak kurang yang menyokong keputusan itu bagi memberi pengajaran kepada kelab-kelab yang bertanding musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post 284 anak asnaf cemerlang peperiksaan terima insentif, sim kad prabayar bebas kredit
Next post MUSA akur dipotong tiga mata
Ubah saiz-+=