29,350 murid terima sumbangan persekolahan TNB

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

GADEK 28 Mac – Seramai 29,350 murid di seluruh negara menerima sumbangan peralatan persekolahan bernilai RM5.87 juta Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun ini.

Peralatan persekolahan bernilai RM200 untuk setiap murid itu disediakan TNB melalui program Ceria ke Sekolah (CKS) khusus bagi membantu mereka yang daripada keluarga B40 meneruskan pembelajaran.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, antara barangan itu ialah pakaian, kasut, stokin, beg dan tudung yang amat penting bagi memastikan murid mampu ke sekolah dengan sempurna.

“CKS adalah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB dan aktiviti tahunan bagi menzahirkan keprihatinan kepada golongan kurang mampu,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan sumbangan CKS kepada 100 murid sekolah rendah dalam Parlimen Alor Gajah di Dewan Anggerik, Melekek, di sini, kelmarin.

Sumbangan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Murid tahun enam, Nur Asma Insyirah Sahari berkata, dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada TNB kerana sudi membantu meringankan beban ibunya, Ummu Salamah Samsir, 41, menyediakan peralatan itu.

Murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) al-Faizin, Jelatang, di sini itu berkata, ibunya seorang ibu tunggal bertugas sebagai penolong pustakawan Perpustakaan Desa Kampung Bukit Nangka, Gadek di sini dan terpaksa membiayai persekolahan dia, kakak dan adiknya.

Mohd Alif Irwanshah Abdul Rahman, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Ganun, di sini berkata, dia amat gembira menerima sumbangan berkenaan dan berjanji menimba ilmu bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik.

“Bapa saya, Abdul Rahman Abdullah yang berumur 33 tahun hanya kerja kampung dan sedikit sebanyak bantuan ini mampu meringankan bebannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Melaka rangka kerjasama pelancongan dua hala dengan negeri lain
Next post Kebakaran loji penapis minyak pertamina: Tiada mangsa terkorban, tiga dilaporkan hilang
Ubah saiz-+=