30 minit tarik bangkai buaya

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LINGGI, 12 Dis. – Sekumpulan nelayan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menarik bangkai buaya sepanjang kira-kira tiga meter yang ditemui di laut ke pesisir pantai Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Bangkai buaya dipercayai betina itu ditemui kira-kira jam 11.45 pagi oleh tiga nelayan di kawasan Kampung Balik Batu, dalam perjalanan pulang selepas merawai.

Menurut nelayan Othman Ibrahim, 64, berkata, pada awalnya mereka khuatir untuk mendekati reptilia itu kerana bimbang ia masih hidup.

Katanya, bagaimanapun selepas beberapa ketika mengamati ianya memang tidak bernyawa dan bergerak mengikut ombak, baru mereka memberanikan diri menghampiri.

“Bangkai itu hanyut dalam keadaan perut ke atas dan kami kemudian bersepakat untuk menariknya naik ke darat.

“Dengan ukuran sepanjang kira-kira tiga meter kami terpaksa menggunakan dua bot untuk menariknya,” katanya ketika ditemui di Pantai Pengkalan Balak, di sini.

Menurutnya yang sudah menjadi nelayan sejak 15 tahun berkata, susulan itu mereka terus menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan penemuan bangkai terbabit untuk tindakan lanjut.

“Apa yang dilihat di bahagian muka dan mulutnya mengalami kecederaan dan punca kematian tidak dapat dipastikan sama ada terkena ribut kuat sehingga terlanggar bot atau berlawan.

“Kemungkinan ianya sudah mati sejak semalam kerana sudah berbau selain kami tidak menolak kemungkinan buaya ini adalah yang sama selalu meronda di kawasan ini,” katanya.

Views:

2364
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri tidak perlu janji manifesto untuk tadbir Melaka
Next post Pantai Pengkalan Balak kembali ‘ceria’
Ubah saiz-+=