Ketua Menteri tidak perlu janji manifesto untuk tadbir Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

LENDU, 12 Dis. – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali tidak memerlukan manifesto untuk mentadbir negeri sebagaimana pemimpin kerajaan terdahulu sebaliknya kepentingan rakyat menjadi keutamaannya.

Beliau berkata, beliau sama sekali tidak mahu melakukan perkara sama apabila diberi tanggungjawab menjadi pemimpin negeri dengan membatalkan hak atau keperluan yang diperoleh rakyat.

Katanya, meskipun kerajaan terdahulu mendakwa sudah mencapai 80 peratus janji manifesto itu namun selebihnya akan diteruskan jika ia membabitkan kehendak rakyat.

“Saya (apabila) menjadi kerajaan, saya tidak ada manifesto. Rakyat itu manifesto saya, kehendak dan kemahuan rakyat adalah manifesto kami.

“Kita tidak mahu ulang apa yang dilakukan (kerajaan terdahulu), dan kita teruskan apa yang baik untuk rakyat.

“Bagaimanapun ia perlu melihat keuntungan kepada siapa, jika keuntungan kepada rakyat, saya teruskan.

“Saya ditentukan Allah SWT untuk menjadi pemimpin negeri ini jadi saya buat mana yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Susu Sebagai Makanan 2020 di Kompleks Japerun Lendu, di sini.

Dalam laporan media 27 Ogos lalu, bekas Ketua Menteri yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Adly Zahari dilaporkan mendakawa, di bawah kepemimpinannya, kerajaan PH berjaya memenuhi 80 peratus daripada 86 janji dalam manifesto PH negeri.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihak manapun yang mentadbir negeri sama ada kerajaan mahupun pembangkang, perkara baik melibatkan rakyat tidak perlu dibatalkan

Jelasnya, andai ditakdirkan pihak pembangkang kembali memerintah negeri, perkara yang baik perlu diteruskan dan tidak perlu menyekat keperluan rakyat.

“Contoh di Bukit Payung, rakyat memerlukan dewan serbaguna malah projek itu sudah lulus pun tetapi dibatalkan (kerajaan PH),”katanya.

Views:

532
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2021: Permulaan baik buat e-Sports Melaka – MEA
Next post 30 minit tarik bangkai buaya
Ubah saiz-+=