40 penginapan pekerja asing berpusat di Melaka menjelang tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Kerajaan Negeri merancang untuk membina kira-kira 40 penginapan pekerja berpusat (CLQ) di seluruh Melaka menjelang 2025.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pekerja asing khususnya dalam sektor perkilangan dan pembuatan hendaklah ditempatkan di CLQ bermula tahun hadapan.

Katanya, CLQ merupakan antara hasrat Kerajaan Negeri selain ia sebagai satu mekanisme terbaik bagi penempatan pekerja yang kondusif dan selamat terutamanya untuk pekerja warga asing di negeri ini.

“Kerajaan Negeri merancang untuk membina sebanyak 40 penginapan CLQ menjelang 2025 yang mana ia termasuk di bawah tiga agenda utama Kerajaan Negeri.

“Ia meliputi pembangunan ekonomi yang komprehensif dan mampan, kesaksamaan sosial demi kesejahteraan rakyat serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Simposium Perburuhan Siri 4/2024 anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka, di Bandaraya Melaka, baru-baru ini.

Menurut Hee Sem, untuk permulaan, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 20,000 pekerja asing bakal ditempatkan di CLQ secara berperingkat menjelang tahun hadapan.

“Agensi berkaitan termasuk JTK diharap akan berusaha mendapatkan kerjasama daripada syarikat pemaju untuk membangunkan lebih banyak CLQ di Melaka.

“JTK juga akan terus mempergiatkan aktiviti perburuhan sama ada melalui penguatkuasaan mahupun pendidikan berhubung Akta 466 secara konsisten ia bagi memastikan majikan dan penyedia CLQ sentiasa berusaha memohon perakuan penginapan bagi menjamin pekerja mendapat hak serta perlindungan dalam semua aspek,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post Gotong-royong perindah Taman Rekreasi Bukit Beringin
Next post 77 peluk Islam di Melaka tahun ini – MAIM
Ubah saiz-+=