Gotong-royong perindah Taman Rekreasi Bukit Beringin

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

LENDU 6 Jun – Taman Rekreasi Bukit Beringin Masjid Tanah, di sini, telah dijadikan lokasi utama untuk aktiviti gotong-royong kebersihan dan pengindahan sempena Sambutan Hari Perbandaran Ke-21 Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Program itu dilaksanakan bersama pelbagai agensi dengan fokus menjadikan persekitaran kawasan riadah itu lebih kondusif, di samping kerja-kerja naik-taraf yang sedang dan akan dilaksanakan kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu amat baik memandangkan taman rekreasi berkenaan merupakan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka Ke-12 merakamkan penghargaan kepada MPAG dan semua pihak terlibat dalam mengindahkan lagi kawasan tersebut demi keselesaan semua pihak.

“Taman rekreasi ini dahulunya merupakan tempat riadah utama bagi penduduk sekitar Masjid Tanah. Terima kasih saya ucapkan atas usaha yang dilakukan pihak MPAG dan agensi terlibat ini.

“Semoga usaha ini diteruskan lagi dengan perancangan menaik taraf taman ini supaya ia dapat terus digunakan untuk aktiviti riadah dan apa jua program,” katanya.

Terdahulu, gimik perasmian Program Pengindahan Taman Rekreasi Bukit Beringin Masjid Tanah itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim; Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah Ir. Haidir Haron; Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, Ahli-Ahli Majlis dan pemimpin-pemimpin setempat.

447206357 772256795087593 136755342839704516 N
SULAIMAN, Zulkiflee dan Saifuddin bergambar bersama sebahagian warga kerja dan agensi yang terlibat pada Program Pengindahan Taman Rekreasi Bukit Beringin Masjid Tanah. Foto MPAG

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, kerja-kerja pengindahan itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah serta pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, SMK Sultan Alauddin, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ehya El-Karim, selain penglibatan pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Masjid Tanah.

Katanya, ia turut membabitkan beberapa agensi kerajaan seperti CMI Infra; SWM Environment Sdn Bhd dan Pejabat Parol Penjara Negeri Melaka.

Menurutnya lagi, antara kerja-kerja pengindahan yang dilakukan adalah membersihkan kawasan dan mengecat semula infrastruktur yang terdapat di taman rekreasi berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post Hidup bersatu-padu, jadikan Melaka negeri contoh
Next post 40 penginapan pekerja asing berpusat di Melaka menjelang tahun depan
Ubah saiz-+=