4,177 ahli JPKK dilindungi Insurans Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 10 Julai – Seramai 4, 177 orang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini layak menerima perlindungan Insurans Kesihatan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Insurans Kesihatan itu disediakan Kerajaan Negeri bagi membolehkan ahli JPKK yang layak menerima rawatan di hospital pakar.

Jelasnya, jumlah keseluruhan JPKK di Melaka pada 2024 adalah seramai 4,823 orang namun hanya 4,177 orang sahaja yang layak menerima insurans.

“Daripada jumlah itu seramai 646 orang tidak layak dan kebanyakkan yang tidak layak disebabkan oleh faktor umur yang lanjut iaitu berusia lebih daripada 65 tahun.

“Bermula 1 Januari hingga 16 Jun lalu seramai 36 JPKK telah menggunakan perkhidmatan insurans dengan jumlah tuntutan sebanyak RM497, 971.05,” katanya ketika mewakili Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, menjawab soalan lisan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai jumlah ahli JPKK yang menerima rawatan di hospital pakar, pada Persidangan Kedua, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal berkata, bagi ahli JPKK yang tidak layak menerima insurans, Kerajaan Negeri mencarumkan khairat kematian berjumlah RM5,000 setiap seorang.

“Atas keprihatinan dan penghargaan kita kepada JPKK di setiap kampung,Kerajaan Negeri juga memberikan juga kepada yang tidak layak ini iaitu khairat kematian.

“Setiap individu dicarumkan sebanyak RM5,000 bagi khairat kematian ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada tahun lalu tuntutan Insurans Kesihatan yang dibuat oleh ahli JPKK dalam tempoh Januari hingga December 2023 berjumlah RM2.5 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post MyKiosk teratur dan kemas
Next post Uptown Paya Rumput tempatkan 30 MyKiosk berpusat
Ubah saiz-+=