86 peratus premis di seluruh negara sudah peroleh FC

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDAR HILIR 29 Nov – Kira-kira 86 peratus premis termasuk bangunan kerajaan di seluruh negara sudah memperoleh sijil perakuan bomba (FC) sejak awal tahun sehingga bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Hamdan Wahid berkata, 86 peratus daripada jumlah keseluruhan 8,500 premis sudah mendapat FC manakala bakinya masih dalam proses berikutan tertangguh selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, perakuan itu penting bagi menjamin keselamatan sesebuah premis sekiranya berlaku kemalangan seperti kebakaran dapat dicegah lebih awal.

“Memandangkan kita beberapa kali melalui fasa PKP, jadi sektor-sektor tutup ada yang sempat diperiksa dan ada sesetengah kita tidak dapat buat kerana PKP.

“Selepas PKP kita akan meneruskan pemeriksaan bangunan ini, jadi kita menasihatkan mereka yang belum mendapat sijil ini untuk ke hadapan untuk memohon semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Peringkat Melaka, hari ini.

Menurut Hamdan, pemilik premis atau pihak yang gagal untuk memperoleh FC boleh dikenakan tindakan dibawah Akta 341 Akta Perkhidmatan Bomba (APB).

“Tindakan ini bukan untuk menghukum sebaliknya bagi memastikan sesebuah bangunan itu selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 80 peratus daripada 400 bangunan di negeri ini sudah memperoleh FC.

Sementara itu, beliau berkata JBPM menerima aset baharu iaitu 100 buah pacuan empat roda yang akan diagihkan kepada balai bomba dan penyelamat bagi mempertingkatkan operasi di lapangan.

“Pacuan empat roda ini akan diagihkan mengikut keperluan contohnya di kawasan-kawasan terpencil yang sukar diakses. Ia masih dalam proses perolehan.

“Kita juga bercadang untuk menambah compact fire and rescue tender (CFRT) sebanyak 150 buah namun proses masih berjalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post JKN sasar 50 peratus rawatan ORL tertunggak selesai hujung tahun ini
Next post PM: Hubungan rapat antara Malaysia, Singapura amat penting untuk kedua-dua negara
Ubah saiz-+=