5 KPI Shahril Hamdan untuk orang Alor Gajah

ALOR GAJAH 12 November – Calon Barisan Nasional (BN) Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan menetapkan lima Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada rakyat untuk ditunaikan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, jika diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lima KPI akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan, satu tahun, empat tahun dan lima tahun.

“Saya mencadangkan lima KPI untuk diri saya iaitu yang pertama, mampukah dalam tempoh saya menjadi Ahli Parlimen saya akan menambah peluang pekerjaan dalam Alor Gajah.

“Selain itu, dalam tempoh itu saya akan mempertingkatkan pendapatan purata atau isi rumah buat rakyat kawasan ini kerana apa yang kita dapati rakyat Alor Gajah merekodkan pendapatan sedikit rendah berbanding kawasan lain.

“Bagi KPI ketiga, dalam tempoh saya menjadi Ahli Parlimen mampukah saya menaik taraf infrastruktur yang memfokuskan kepada infrastruktur banjir atau untuk orang muda sendiri seperti padang bola sepak dan kemudahan riadah di Alor Gajah,” katanya pada sidang media selepas program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah diadakan di Rembia, di sini, malam tadi.

Selain itu, Shahril berkata KPI keempatnya yang perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun adalah memfokuskan kepada aspek pendidikan buat rakyat Alor Gajah terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman.

“Dalam tempoh lima tahun itu selain memfokuskan jaringan internet dan sebagainya akses kepada tuisyen amat penting buat masyarakat di pedalaman untuk menerima pendidikan secara sama rata diterima segenap lapisan masyarakat.

“Saya usahakan sesuatu yang baharu seperti tuisyen percuma atau apa saja kemudahan yang membolehkan rakyat yang duduk di pedalaman untuk ada akses kepada pendidikan ini.

“Dan KPI yang kelima, adalah kita lihat Alor Gajah ini kawasan yang beradat, kita ada adat perpatih diamalkan di kawasan ini, kita ada kaum Cina dan India yang ada budaya dan warisan tersendiri, jadi saya nak naikkan martabat kebudayaan, warisan dan adat dalam Alor Gajah ini agar martabatnya mampu diketahui sehingga ke Asia Tenggara, selain akan memastikan anak muda akan memahami dan menjiwai warisan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

838
Previous post Teknologi beri nafas baru teater bangsawan
Next post 15 tawaran BN untuk pengundi P136 Tangga Batu