54 unit rumah Taman Seri Aman Lagenda mesti disiapkan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 11 Mei – Sebanyak 54 unit kediaman Taman Seri Aman Lagenda, di sini yang terbengkalai sejak 2017 mesti disiapkan pemaju walaupun tarikh tinjauan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan ke tapak projek, ditangguhkan.

Ini kerana kerajaan negeri tidak akan melanjutkan lagi tempoh untuk pemaju menyiapkan projek berkenaan selepas diberikan kelonggaran sejak Jan lalu.

Lawatan untuk meninjau kemajuan projek berkenaan dijadualkan esok ditunda ke 26 Mei atas permintaan pihak pemaju terbabit.

“Meskipun bersetuju untuk menunda tarikh lawatan, pemaju berpangkalan di Kuala Lumpur itu masih perlu mengotakan janji mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Mohd Salleh Hamidom berkata, pihaknya menetapkan tarikh baharu program berkenaan selepas mendapat pemintaan daripada pihak pemaju.

Manakala wakil pembeli, Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, berharap pemaju dapat mengotakan janji berikutan masalah itu berlajutan sejak 2017 lagi.

“Sekarang ini kami sudah mula membayar pinjaman perumahan tapi belum dapat berpindah masuk ke rumah idaman,” katanya.

Bagi seorang lagi pembeli Wan Suria Hanis Wan Ibrahim, 40, berkata berikutan masalah itu ramai dalam kalangan mereka terpaksa menyewa sekitar pekan masjid Tanah dan kampung berhampiran.

Pada Jan lalu, Zaidi dilaporkan berkata, pemaju diberikan enam bulan untuk menyiapkan keseluruhan 54 unit rumah yang terbengkalai sejak 2017.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan melanjutkan lagi tempoh berkenaan kerana projek itu sepatutnya disiapkan sepenuhnya pada 2019.

Kerajaan negeri mahu pemaju menyiapkan projek itu dan menyerahkannya kepada pembeli yang sudah menunggu lama untuk menghuni rumah masing-masing.

Beliau berkata, pemaju diwajibkan membina tangki air utama untuk kegunaan penghuni, selain membina semula tembok penahan tebing yang sudah runtuh kerana ia membahayakan penghuni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1083
Kongsi :
Previous post Sedia mansuh upah potong ayam sekiranya harga siling dinaikkan
Next post Rasa janggal kalau tak pakai pelitup muka
Ubah saiz-+=