[Dikemaskini] 589 pegawai dan anggota Kontinjen Melaka bantu 6 PRN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Sejumlah 589 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka akan dihantar untuk membantu melancarkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada bulan depan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah tersebut mewakili 30 peratus daripada hampir 3,000 pegawai dan anggota kontinjen Melaka.

Katanya, perkara itu tidak akan menjejaskan kekuatan atau mengganggu kelancaran operasi di Negeri Melaka.

“Pegawai dan anggota berkenaan sudah bersedia untuk digerakkan ke negeri-negeri terbabit PRN, kini hanya menunggu arahan sahaja.

“Jumlah terbabit PRN tidak melibatkan mereka yang mengalami masalah kesihatan. Kami ambil kira sumber manusia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka yang baharu Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi di Auditorium IPK Melaka, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pengundi di enam negeri bakal menjalankan tanggungjawab pada 12 Ogos depan apabila PRN akan dilaksanakan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Media melaporkan, tarikh penamaan calon bagi pelaksanaan di enam negeri itu ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Kira-kira 9.7 juta pengundi akan terlibat dalam PRN kali ini.

Sementara itu Zainol berkata, pihaknya juga melakukan persediaan bagi menjamin kelancaran dan keselamatan orang ramai sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post KPDN buka 6,502 kertas siasatan setakat Jun
Next post Macam-macam ada di Hari Bertemu Rakyat DUN Machap Jaya
Ubah saiz-+=