Macam-macam ada di Hari Bertemu Rakyat DUN Machap Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MACHAP JAYA 17 Julai – Program Hari Bertemu Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang akan diadakan 22 Julai ini di Dewan Japerun Machap Jaya bakal membawa pelbagai aktiviti dan program menarik kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Ngwe Hee Sem berkata, program berkenaan bakal membawakan lebih 22 agensi dengan pelbagai pameran dan kaunter akan dibuka.

Menurutnya, hari istimewa itu bakal berlangsung pada jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Antara program menarik yang disediakan ialah pemeriksaan kesihatan dan kanser percuma, selain kaunter pembayaran bil-bil seperti bil air, elektrik, cukai tanah, cukai taksiran, memperbaharui lesen memandu dan lain-lain.

“Selain itu, turut diadakan Jualan Rahmah dan Jualan Rahmah Agro oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA).

“Orang ramai juga boleh membuat permohonan tertentu bersama jabatan dan agensi kerajaan seperti permohonan pinjaman TEKUN dan pinjaman rumah, selain pendaftaran sijil lahir anak-anak atau pertukaran kad pengenalan,” katanya.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri menyeru orang ramai, khususnya warga Machap Jaya untuk hadir ke program yang menyediakan pelbagai manfaat itu.

“Ini juga adalah peluang untuk pemimpin mendekati rakyat selain mendengar segala aduan serta permasalahan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1736
Kongsi :
Previous post [Dikemaskini] 589 pegawai dan anggota Kontinjen Melaka bantu 6 PRN
Next post 65 warga asing antara ditahan seleweng diesel bersubsidi
Ubah saiz-+=