KPDN buka 6,502 kertas siasatan setakat Jun

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TABOH NANING 17 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 6,502 kertas siasatan hasil pemeriksaan dijalankan di 440,327 premis seluruh negara setakat 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, selain siasatan atas pelbagai kesalahan pihaknya turut melakukan rampasan berjumlah RM47.84 juta.

“Bagi tempoh yang sama, kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM4.5 juta dan jumlah denda sebanyak RM1.01 juta.

“Secara keseluruhan kami terima 20,972 aduan dan daripada jumlah itu 96.55 peratus berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan Sempena Hari Penguatkuasa KPDN Ke-51 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Tahun 2023 di Kem Permata Resort, Ayer Paabas, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Hadir sama Timbalannya, Senator Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDN, Datin Roszanina Wahab.

Pada masa sama, Azman berkata, Kementerian itu telah berjaya menyelesaikan 100 peratus aduan daripada 23,125 aduan yang diterima seluruh negara sepanjang 2022.

Jelasnya, sepanjang 2022 24 operasi Khas telah dijalankan dengan 825,087 premis diperiksa di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 10,869 kertas siasatan dibuka di atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM113.33 juta.

“Nilai kompuan yang dikenakan pula adalah sebanyak RM7.88 juta dan jumlah denda sebanyak RM439,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post Bahagian Penguatkuasa KPDN dijadikan jabatan, tunggu ‘lampu hijau’
Next post [Dikemaskini] 589 pegawai dan anggota Kontinjen Melaka bantu 6 PRN
Ubah saiz-+=