Bahagian Penguatkuasa KPDN dijadikan jabatan, tunggu ‘lampu hijau’

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TABOH NANING 17 Julai – Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) wajar dinaik taraf untuk dijadikan sebuah jabatan bagi mengiktiraf peranan pasukan itu di negara ini.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peranan Jabatan Penguatkuasa KPDN perlu ditubuhkan bagi memartabatkan fungsinya lebih-lebih lagi dalam mendepani tugas yang semakin mencabar pada masa ini.

Perkara itu bagaimanapun katanya, kementeriannya kini sedang menunggu lampu hijau daripada kerajaan bagi memastikan hasrat itu dicapai.

“Tahun lalu kita telah mengangkat perkara ini untuk dibentangkan di peringkat Kabinet dan telah mendapat persetujuan untuk langkah-langkah berikutnya.

“Kita sedang menunggu lampu hijau ataupun isyarat daripada pihak Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam untuk merealisasikan hasrat KPDN mengangkat Bahagian Penguatkuasa ini kepada Jabatan Penguatkuasa KPDN.

“Saya pun sudah mendapat maklum menerusi pejabat bahawa perkara ini sebenarnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang begitu prihatin dan memberi rekomendasi yang kuat dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan Sempena Hari Penguatkuasa KPDN Ke-51 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Tahun 2023 diadakan di Kem Permata Resort, Ayer Paabas, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDN; Datin Roszanina Wahab dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, dengan menaiktaraf status kepada Jabatan Penguatkuasa ia mampu membantu pasukan terbabit menguruskan pelbagai aspek keperluan termasuk peruntukan dalam meningkatkan operasi penguatkuasaan.

Katanya, usaha proaktif yang dijalankan pasukan itu sebelum ini telah banyak membantu negara khususnya dalam penguatkuasaan mengawal barangan bersubsidi daripada membolosi negara sempadan wajar dimartabatkan bagi membantu pembangunan kekuatan dari segi logistik dan fizikal.

“Malah, aspek kepintaran pembuatan (AI) dalam penguatkuasaan juga perlu dibangunkan dengan peralatan teknologi terkini, dengan drone sahaja ia tidak mencukupi mungkin kita memerlukan kamera yang lebih pintar.

“Kita memerlukan juga bahagian risikan supaya ia akan mendekatkan lagi maklumat kita contohnya berkaitan barangan makanan yang diimport daripada luar negara… mungkin kita sekarang bergantung dengan kerjasama Bahagian Risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tapi dengan adanya Bahagian Risikan daripada KPDN ini nanti ia dapat mempertingkatkan lagi maklumat kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Md Nazri dilantik Timbalan Ketua Polis Melaka baharu
Next post KPDN buka 6,502 kertas siasatan setakat Jun
Ubah saiz-+=