Md Nazri dilantik Timbalan Ketua Polis Melaka baharu

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 17 Julai- Bekas Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara,Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Melaka berkuatkuasa hari ini.

Md Nazri mengambil alih tugas itu daripada Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Polis Mohamed Mahat yang memangku jawatan terbabit selama sebulan selepas persaraan wajib Datuk Razali Abu Samah pada 16 Jun lalu.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah yang diadakan di Auditorium IPK Melaka di sini hari ini.

Sementara itu, Md Nazri ketika ditemui pemberita memaklumkan beliau bersedia bersama-sama menggalas tanggungjawab dalam memastikan kadar indeks jenayah di Melaka menurun.

“Sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka baharu, saya akan bersama-sama Ketua Polis bergerak seiring dengan dasar negara serta mengambil kira aspek integriti untuk Negeri Melaka,” kata anak kelahiran Kelantan itu.

Untuk rekod, Md Nazri berusia 54 tahun merupakan lulusan Sarjana Sains Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau telah menyertai polis pada 1 Julai 1995 dan sepanjang berkhidmat, beliau turut pernah menggalas beberapa jawatan penting seperti Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daeah Tapah, Perak; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Selatan; Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling, IPK Melaka.

Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor; Penolong Pengarah Perjawatan (Unit Pegawai Diwartakan Bukit Aman dan Ketua Penolong Pasukan Khas Siasatan Bersepadu, Bukit Aman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5706
Kongsi :
Previous post Jalan Balik Pulau – Jalan Teluk Bahang ditutup berikutan hakisan tanah
Next post Bahagian Penguatkuasa KPDN dijadikan jabatan, tunggu ‘lampu hijau’
Ubah saiz-+=