9 resolusi tuntut hak Palestin

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersama lima persatuan belia bergabung mengusulkan sembilan resolusi kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menuntut hak rakyat Palestin.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pihaknya memandang serius percabulan hak asasi manusia berhubung konflik antara Israel dan Palestin.

Katanya, antara sembilan resolusi dicapai adalah menghentikan peperangan; mengutuk serangan kejam tidak berperikemanusiaan; mengutuk sokongan negara barat; usaha pembebasan Masjid al-Aqsa; Menggesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan Pertubuhan Lapan Negara Membangun (D-8) memainkan peranan untuk memberikan tekanan agar peperangan berhenti dan seterusnya membawa penjenayah perang Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Sembilan resolusi ini dihantar secara maya menerusi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur oleh wakil Malaysia untuk dipersembahkan dalam persidangan OIC di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

“Dengan kesepakatan menerusi platfrom yang diadakan, kita mahu suara ini disampaikan kepada PBB, sekali gus menuntut hak dan menghentikan konflik yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di Universiti Geomatika Malaysia (GUC) di Bangunan Yayasan Belia Dunia, di sini, hari ini.

photo1697616674
MOHD RIDHWAN

Hadir sama pada forum itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Presiden DMDI; Pengerusi DMDI Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani; Naib Pengerusi DMDI, Prof Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Pengerusi Forum Perang Palestin Israel merangkap Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.

Mohd Ridhwan berkata, suara resolusi itu mewakili suara 23 negara anggota DMDI, Serantau Muslim beroperasi di 40 buah negara, Yayasan Belia Dunia dengan rangkaian belia di seluruh dunia.

“Sementara itu Pertubuhan Belia 4B pula mempunyai 1,500 cawangan seluruh negara, Gabungan Belia Melaka membabitkan 19 pertubuhan belia daripada tiga Majlis Gabungan Belia Daerah di bawahnya, serta Universiti Geomatika Malaysia,” katanya.

Terdahulu, forum berlangsung sejak awal pagi tadi dihadiri kira-kira 200 peserta mewakili pelbagai pertubuhan dan pelajar.

Forum sama juga berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai bada bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu berjumlah RM50,000 yang akan disalurkan ke Palestin dalam masa terdekat.

Susulan forum itu pihaknya juga bercadang untuk menganjurkan lebih banyak program wacana ilmu; Menggesa agar bantuan berupa kesihatan, makanan, pakaian dan lain-lain dibenarkan masuk ke Gaza dan seluruh Palestin tanpa sekatan.

Ahli forum juga menggesa agar diwujudkan zon selamat atau koridor kemanusiaan agar warga Palestin dapat menyelamatkan diri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post Bas kilang guna cukai jalan palsu
Next post Gesa segerakan gencatan senjata di Gaza
Ubah saiz-+=