
Jualan Rahmah bantu keluarga berjimat
Tinjauan Bernama di sebuah pasar raya yang menawarkan Jualan Rahmah di Ayer Keroh di sini hari ini mendapati rakyat tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai barangan basah dan kering yang ditawarkan sempena jualan tersebut.
Barang basah yang dijual termasukĀ ayam berharga RM9.99 seekor, ikan siakap (RM3.99 seekor), ubi kentang (RM1.59 sekilogram), minyak masak botol limaĀ kilogramĀ (RM22.99), telur ayam gred D (RM9.29 sepapan) serta beras import kampit 10 kilogram (RM32.99).
Pekerja swasta dari Klebang, Siti Anum Che Ab Wahab, 34,Ā berkata beliau sentiasa menunggu Jualan Rahmah diadakan di mana-mana lokasi untuk membeli barangan keperluan dapur.
“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, Jualan Rahmah amat membantu rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang kompetitif.
“Bila dah masuk tengah bulanĀ perbelanjaan perlu dijimatkan, justeru Jualan Rahmah amat membantu saya dan keluarga untuk berjimat kira-kira RM100 sebulan,” katanya kepada Bernama.
Norzela Sabudin, 47, dari Durian Tunggal, Alor Gajah pula berkataĀ beliau sentiasa mengikuti laman sosial Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melihat jadual Jualan Rahmah.
Menurutnya program jualan berkenaanĀ membantunya mendapatkan barangan dapur pada harga lebih murah berbanding hargaĀ semasa.
“Jualan Rahmah ni memang banyak membantu terutama golongan kurang berkemampuan untuk dapatkan barangan dapur pada harga lebih murah.
“Macam hari ini, ayam dijual RM10 seekor tanpa kira berat danĀ saiznya agak sedang, cukupĀ untuk makan dua atauĀ tiga hari bagiĀ keluarga lima orang seperti saya,” kata pejawat awam itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.