PKPB: Pengusaha gimnasium akur walaupun rugi

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 13 Nov. – Tidak seperti permulaan awal tahun ini, kebanyakan pengusaha gimnasium di negeri ini kini mengeluh memikirkan masa depan perniagaan ekoran sukar menampung kos operasi akibat penularan wabak COVID-19 sejak Mac.

Jika pada tahun-tahun sebelumya, para pengusaha pusat riadah ini mampu membayar kos sewaan premis tepat pada masa.

Kini sebahagian darinya terpaksa menggadaikan aset dimiliki selain terpaksa merayu kepada pemilik premis supaya menerima bayaran sewaan secara ansuran demi menyelamatkan perniagaan yang terkesan akibat kekurangan pelanggan.

Salah seorang pengusaha gimnasium di negeri ini yang mahu dikenali sebagai Jay berkata, dia yang menjalankan perniagaan bersama adik-beradiknya kini terpaksa melakukan bisnes lain bagi menampung kos operasi yang mencecah RM35,000 sebulan.

“Pendapatan kami terjejas sehingga 60 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac, namun selepas pelonggarannya pada Jun membolehkan kami bernafas kembali.

“Tetapi, pelanggan tidak ramai seperti dahulu, kerana sebahagiannya meluahkan rasa tidak selamat kerana dikhuatiri dijangkiti wabak tersebut, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan.

“Kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah diumumkan bermula hingga 6 Disember depan, walaupun dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam, namun saya risau kehadiran pelanggan yang mungkin berkurangan kerana waktu perniagaan dipendekkan katanya ketika dihubungi.

Beliau dalam masa sama berharap pihak yang berkenaan mempertimbangkan cadangan melanjutkan operasi pusat riadah ke jam 11 malam, berbanding jam 10 malam, susulan keluhan pelanggan.

Seorang lagi pengusaha dikenali sebagai Aukenn juga mengakui perniagaannya yang dibangunkan sejak 2017 kini terjejas teruk.

“Terus terang, perniagaan saya tidak bersedia berdepan PKPB. Sejak Julai, perniagaan saya masih lagi mod ‘recovery’ dan simpanan banyak digunakan untuk menampung kos operasi mencecah RM20,000 sejak PKP dilaksanakan pada Mac.

“Namun, apa boleh buat, kami terpaksa akur, cuma berharap situasi ini tidak berlanjutan dan ketika ini, kos operasi ditampung sedikit oleh ‘online coaching’,” katanya.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Air mata iringi suami ke Sabah
Next post Geng Ayip Gagap tumpas
Ubah saiz-+=