Ketua Menteri dan pengamal media bergaya bak zaman Kesultanan Melayu Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KOTA LAKSAMANA 24 Dis. – Bagai kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Itu yang dapat disimpulkan pada Malam
Apresiasi Media Melaka 2020 anjuran Pejabat Ketua Menteri Melaka bertempat di Hotel Casa Del Rio, malam tadi.

Bertepatan dengan temanya, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali bersama pengamal-pengamal media negeri ini lengkap berbusana bak sultan dan pembesar Melayu Melaka di zaman dahulu kala.

SULAIMAN (berdiri tengah) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir dalam majlis Malam Apresiasi Media Melaka 2020 anjuran Pejabat Ketua Menteri Melaka bertempat di Hotel Casa Del Rio, malam tadi.

Para pengamal media yang diraikan pada majlis itu bukan sahaja dijamukan dengan juadah yang enak, bahkan pelbagai aktiviti turut disertakan seperti pertandingan karaoke, pertandingan busana terbaik, cabutan bertuah, joget lambat dan pelbagai persembahan kebudayaan yang lain.

Sulaiman dalam ucapannya menyifatkan peranan media khususnya di negeri Melaka begitu besar khususnya dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat.

“Saya akui, sumbangan dan bantuan yang telah diberikan oleh media massa serta pengamal-pengamal media di Melaka kepada Kerajaan Negeri Melaka dan rakyat Melaka secara keseluruhan, memang cukup besar.

“Mereka sanggup berpanas, berhujan dari pagi hingga ke malam dalam usaha memberikan berita serta informasi terkini yang tepat lagi sahih kepada rakyat.

“Kita amat menyanjung tinggi peranan mereka dan sebab itulah kita adakan majlis seperti ini untuk menghargai para media dan pada masa sama untuk mengeratkan hubungan kerajaan negeri dengan seluruh media di negeri ini tidak kiralah media cetak, elektronik mahupun media sosial,” katanya.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) yang diwakili pengerusinya, Amir Mamat.

Dalam majlis sama, Sulaiman turut berbesar hati menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) dan Persatuan Wartawan Melaka (MJA) selaku kelab media yang aktif di bumi bersejarah ini.

Kejutan turut berlaku dalam majlis tersebut apabila pihak Hotel Casa Del Rio, Pejabat Ketua Menteri dan PENDIKA berbesar hati menghadiahkan kek dan cenderahati khas kepada Sulaiman bersempena dengan sambutan hari jadinya yang ke-55.

Views:

986
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka catat 124 kes positif
Next post Kerajaan komited bina titik persamaan dengan ADUN pembangkang
Ubah saiz-+=