
BAWA LEBIH MUATAN, 19 LORI DITAHAN JPJ
AYER KEROH 1 Mei – Tindakan pemandu lori yang membawa lebih muatan membawa padah selepas kenderaan dipandu mereka ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Operasi Khas Pengarah (Lebih Muatan), sekitar negeri ini, bermula 10 malam semalam hingga 9 pagi tadi.
Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, operasi selama 11 jam itu melibatkan beberapa lokasi antaranya pintu masuk ke Melaka di plaza tol.
“Sepanjang operasi sebanyak 89 buah kenderaan berat membawa muatan diperiksa dan daripada itu 21 diarahkan untuk ditimbang, hasilnya 19 ditahan selepas didapati membawa lebih muatan.
“Sebuah lori didapati gagal hadir timbang dan diberikan notis Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 melalui pos berdaftar kepada pemandu terbabit.
“Selain itu, sebanyak 43 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan penguatkuasa JPJ keatas lori yang diperiksa dan ditahan selepas didapati ada melakukan kesalahan,” katanya.
Menurutnya, antara alasan yang diberikan oleh pemandu membawa lebih muatan adalah kerana inginkan upah atau komisen yang lebih.
“Antara barangan dibawa kenderaan dikesan melebihi muatan adalah kain atau pakaian bundle. Justeru, kami menggesa pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) khususnya untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuklah meningkatkan kawal selia keselamatan operasi kenderaan,” katanya.
Jelasnya, operasi turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan susulan pemeriksaan dua individu masing-masing pemandu serta kelindan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Pemandu dan kelindan yang gagal dalam saringan urin kemudian ditahan AADK untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.